Hukum Puasa Sunat/Ganti Hari Jumaat, Sabtu

| Rabu, 4 Mei 2016 | |



Hadis: Puasa Jumaat

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad SAW berkata yang bermaksud: “Jangan kamu khaskan malam Jumaat dengan solat yang berbeza daripada malam-malam yang lain dan jangan kamu khaskan hari Jumaat dengan puasa yang berbeza daripada hari yang lain kecuali jika ia jatuh pada hari yang seseorang kamu berpuasa padanya.” (Riwayat Muslim)

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bemaksud: “Janganlah seseorang kamu berpuasa pada hari Jumaat kecuali dengan berpuasa sehari sebelum atau sehari selepasnya.” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Daripada Abdullah bin Amru, Nabi Muhammad SAW pergi ke rumah Juwairiyah binti Al-Harith dan mendapati dia berpuasa pada Jumaat. Maka Baginda SAW bertanya:  “Adakah engkau berpuasa semalam?” Jawabnya: Tidak. Baginda SAW bertanya lagi: “Adakah engkau mahu berpuasa esok?” Jawabnya: Tidak. Baginda SAW pun berkata, “Kalau begitu berbukalah.” (Riwayat Bukhari)


Hadis: puasa Sabtu

Daripada Abdullah bin Busr daripada kakaknya Al-Samma’, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Jangan kamu berpuasa pada hari Sabtu kecuali dalam apa yang difardukan (diwajibkan) atas kamu, dan jika sekiranya seseorang kamu hanya mempunyai kerak anggur atau tangkai pokok maka hendaklah ia mengunyahnya.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, Tirmizi, IbnuMajahdan Al-Darimi. Imam Al-Tirmizi menghasankannya manakala Syeikh Al-Albani mensahihkannya dalam Irwaa’ Al-Ghalil hadis no. 960)

Daripada Umm Salamah, Rasulullah SAW berpuasa pada Sabtu dan Ahad lebih daripada hari yang lain dan Baginda SAW berkata: “Kedua-duanya adalah hari raya orang Musyrikin, maka saya suka menyelisihkan mereka.” (Riwayat Ahmad dan didaifkan oleh Syeikh Al-Albani dalam Silsilah Dha’ifah hadis no. 1099)

Kesimpulannya, dapat dikatakan berpuasa pada Jumaat adalah dilarang kecuali:

Dengan berpuasa sehari sebelumnya (Khamis); atau, Sekiranya ia menepati adat puasa seseorang itu.


Perbincangan  puasa Sabtu

Terdapat perbezaan pendapat ulama tentangnya. Ada yang mengatakan: Ia harus, sama seperti puasa Selasa dan Rabu. (Pendapat Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah)

Harus, dengan syarat ia tidak dilakukan secara ifrad (dengan berpuasa pada Sabtu sahaja) dan hendaklah dengan berpuasa sehari sebelum (Jumaat) atau sehari selepasnya (Ahad).

Ia dilarang kecuali dalam puasa fardu. (Pendapat Syeikh Al-Albani rahimahullah)

Syeikh Al-Albani rahimahullah, ulama dalam bidang hadis secara khasnya di dalam kitabnya berjudul Tamam Al-Minnah (halaman 405-408) menyimpulkan, hadis yang menyebut larangan berpuasa pada Sabtu (hadis nombor 4) adalah sahih.

Walaupun ada ulama yang mendaifkannya, tetapi jalan riwayatnya saling menguatkan antara satu sama lain sehingga menjadikannya sahih tanpa keraguan padanya.

Adapun alasan berpuasa pada Sabtu hanya dilarang jika ia dilakukan secara ifrad (dengan berpuasa pada Sabtu sahaja), Syeikh Al-Albani rahimahullah melihat alasan ini tertolak dengan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Kecuali dalam apa yang difardukan atas kamu” dalam hadis nombor 4 di atas.

Sepertimana  dijelaskan oleh Ibnu Al-Qayyim dalam Tahziib Al-Sunan, larangan berpuasa pada Sabtu meliputi semua jenis puasa sunat pada hari tersebut tidak kira sama ada puasa sunat itu dilakukan pada Sabtu sahaja atau dilakukan dengan disertai dengan berpuasa sehari sebelum atau selepasnya.

Kalaulah benar yang dilarang adalah puasa Sabtu secara ifrad sahaja pasti Nabi Muhammad SAW menyatakan, jangan berpuasa pada hari Sabtu kecuali dengan berpuasa sehari sebelum atau sehari selepasnya seperti mana yang dinyatakan dalam puasa hari Jumaat (hadis no. 2).

Bagaimanapun, bagi menghimpunkan antara hadis larangan berpuasa pada Sabtu (hadis no. 4) dan hadis yang mengharuskannya (hadis no. 2 dan 3), Ibnu Al-Qayyim menyimpulkan apa yang dilarang adalah berpuasa pada Sabtu secara ifrad.

Dalam hal ini, Syeikh Al-Albani rahimahullah melihat kesimpulan ini tidak mungkin kerana:

Ia jelas menyalahi hadis larangan berpuasa pada Sabtu (hadis no. 4) yang hanya memberi pengecualian pada puasa fardu.

Terdapat cara lain yang boleh digunakan bagi menghimpunkan hadis ini iaitu dengan menggunakan kaedah-kaedah usul fiqh yang telah digariskan oleh golongan ulama. Antaranya:

Sekiranya satu dalil yang melarang bertembung dengan dalil yang mengharuskan; dalil yang melarang akan didahulukan.

Sekiranya satu dalil kata-kata Nabi Muhammad SAW bertembung dengan dalil perbuatan Baginda SAW; Dalil kata-kata Baginda SAW akan didahulukan.

Berdasarkan kaedah ini, hadis larangan berpuasa pada Sabtu (hadis no. 4) perlu didahulukan kerana ia larangan manakala hadis nombor 2 dan 3 adalah pengharusan.

Begitu juga dengan hadis perbuatan Nabi Muhammad SAW yang banyak berpuasa pada Sabtu dan Ahad (hadis no. 5), sekiranya hadisnya sahih, dalil kata-kata Baginda SAW yang melarang berpuasa pada Sabtu juga perlu didahulukan berdasarkan kaedah usul fiqh: dalil kata-kata perlu didahulukan atas dalil perbuatan.

Bagaimanapun, sepertimana yang dijelaskan Syeikh Al-Albani rahimahullah, hadis nombor 5 ini adalah lemah.


Kesimpulan puasa Sabtu

Kesimpulannya, Syeikh Al-Albani rahimahullah, berpuasa hari Sabtu dilarang sama ada dilakukan secara ifrad mahu pun dengan berpuasa sehari sebelum atau selepasnya. Tetap dilarang walaupun Sabtu itu adalah Hari Arafah (9 Zulhijjah) atau Asyura’ (10 Muharram) kerana jelas keduanya bukan puasa fardu.

Hal ini sama dengan larangan berpuasa pada Isnin dan Khamis sekiranya Hari Raya Aidilfitri jatuh pada satu daripada hari tersebut.  Ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah RA: “Baginda SAW melarang berpuasa pada dua hari iaitu; Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

     Credit: Sinar Harian

edit

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Terbaru Catatan Lama
Dikuasakan oleh Blogger.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

AWESOME BLOGGER

MY PAGE VIEWS

Search

Blog Archive

Labels

Allah Muhammad

BLOGLIST

Menu Tab


Daisypath Graduation tickers



MIOW MIOW

Jangan lupa tinggalkan jejak korang di shoutbox!

Popular Posts

Pages

Follow on Facebook

© Design 1/2 a px. · 2015 · Pattern Template by Simzu · © Content Shikin Shamsudin